Penghayatan Dan Renungan Sempena Israk Mikraj

Assalamualaikum Dan Salam Sejahtera..
Sempena kedatangan Israk Mikraj pada 27 Rejab 1432 Hijrah bersamaan 29 Jun 2011 Masihi ,marilah kita hayati dan renungkanlah Peristiwa Israk dan Mikraj.
Di sebalik keajaiban-keajaiban peristiwa Israk dan Mikraj yang memberi pelbagai pengajaran, ia juga adalah penghibur kepada seluruh umat Islam pada masa kini, sebagaimana ia telah memberi kegembiraan kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh umat Islam pada waktu itu.
Perjuangan bagi melakukan pembaharuan di dalam segenap hal ehwal kehidupan manusia menerusi petunjuk agama ternyata harus melalui pelbagai rintangan dan tantangan. Pada satu-satu keadaan, cabaran yang harus ditempuh terlampau berat di mata dan dibahu yang memikulnya.
Nabi Muhammad SAW dan umat Islam telah melalui dan menempuh cabaran dan rintangan ini di dalam usaha bagi menyebarkan sinar ajaran Islam. Malah, tantangan yang mereka hadapi teramat berat sekali. Nabi Muhammad SAW secara khusus berdepan dengan pelbagai ancaman dan rintangan jiwa dan fizikal. Peristiwa dihina oleh masyarakat Taif umpamanya tenyata memeritkan hati dan nurani baginda.

Dalam keadaan tekanan perasaan yang sedemikian, kehilangan isteri tercinta, Khadijah dan bapa saudara yang pengasih, Abu Talib, menyulitkan lagi kesedihan dan kegelisahan Nabi Muhammad. Kesedihan yang bertimpa-timpa berlaku terhadap seorang Nabi dalam menjalankan amanah agama memberi petunjuk yang begitu jelas akan sifat dan tabiat cabaran yang harus didepani oleh umat Islam di dalam menegakkan cita-cita agama.
Kesedihan sedemikian dikongsi bersama oleh para sahabat dan pengikut Baginda yang setia. Mereka juga terpaksa melalui tindak balas penentang Nabi dalam bentuk ancaman, pemulauan dan siksaan. Kegelisahan dan keperitan hidup sungguh terasa. Namun kesabaran menjadi penawar dan keyakinan terhadap kebenaran agama menjadi benteng ketahanan diri.
Di dalam suasana kesedihan dan keadaan tidak menentu inilah, peristiwa Israk dan Mikrajterjadi kepada Nabi Muhammad SAW. Ia ternyata menjadi penghibur yang paling menenangkan kepada Nabi Muhammad SAW dan seluruh Umat Islam pada waktu itu.
Pengkisahan Nabi Muhammad SAW akan perjalanan malam baginda ke Baitul Maqdisseterusnya ke Sidratul Muntaha, melegakan perasaan umat Islam. Kisah yang penuh keajaiban itu ditanggap sebagai petunjuk akan sinar kejayaan yang sedang menanti umat Islam begitu pasti. Israk dan Mikraj ternyata memberi keyakinan dan berjaya meningkatkan keazaman umat Islam dalam berpegang teguh kepada seluruh petunjuk dan ajaran agama.
Israk dan Mikraj menjadikan umat Islam merasai dengan amat dekat akan janji-janji Allah S.W.T yang benar. Keyakinan umat Islam terhadap kebenaran agama Islam bertambah utuh. Mereka berasa teramat dekat dengan kekuasaan Allah S.W.T dan mempercayai akan pertolongan Allah S.W.T terhadap hamba-hambanya yang tulus di dalam perjuangan agama.
Umat Islam juga sungguh terhibur dengan kisah pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan para Nabi dan Rasul terdaulu di dalam perjalanan malam baginda tersebut. Ia memberi petunjuk yang jelas akan kesahihan salasilah tanggungjawab kerasulan Nabi Muhammad SAWdan kemuliaan baginda.
Keyakinan baru timbul dari pengkisahan ini betapa ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW adalah pelengkap kepada warisan ajaran Tawhid dari Nabi-Nabi terdahulu. Umat Islamberasa sungguh terhormat kerana terpilih menjadi sebahagian dari masyarakat yang bakal menyumbang kepada usaha memperbaharui keimanan dan kepercayaan masyarakat manusia yang sebahagian besar telah terseleweng dari ajaran Tawhid yang sebenar.
Barangkali inila antara petunjuk yang paling menonjol dari peristiwa Israk dan Mikraj kepada umat hari ini. Di dalama suasana tekanan yang luar biasa hari diri dari segenap sudut kehidupan, umat Islam hari ini perlu menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai sumber penghibur kepada mereka. Umat Islam perlu terus meningkatkan keyakinan bahawa Allah S.W.T sentiasa bersama-sama dengan umat Islam dan janji-janji kemenangan kepada umat Islam adalah benar sekiranya mereka dapat memenuhi segala syarat-syarat kemenangan di dalam kehidupan di dunia ini.
Umat Islam tidak harus menjadi terlalu gundah di dalam mendepani segala cabaran pada masa kini. Kesedihan yang terasa akibat dari segala masalah dan kelemahan yang menimpa umat Islam masa kini pasti terubat seandainya hikmah dari peristiwa Israk dan Mikraj ini benar-benar dihayati.
Tugas utama umat Islam hari ini ialah melakukan pembaharuan dalaman dan memperbaiki segala kelemahan-kelemahan dari pelbagai sudut. Ini memerlukan langkah persepakatan dan pemuafakatan bersama bagi mengenalpasti punca-punca kelemahan serta persediaan yang perlu dilakukan bagi mendepani segala cabaran pada masa kini. Salah faham terhadap agama dan umat Islam pada masa kini, terutama oleh masyarakat bukan Islam, boleh diatasi menerusi penjelasan secara rasional dan berterusan serta menerusi tauladan sikap dan kecemerlangan.
Ini menuntut umat Islam memberi keutamaan kepada usaha-usaha perpaduan dan inisiatif peningkatan ilmu dan kemahiran. Keutamaan ini akan dapat dilakukan sekiranya umat Islam sanggup melakukan pembaharuan berfikir dan perubahan budaya ke arah cara hidup yang lebih berdaya maju. Kesemua ini adalah syarat-syarat kemenangan yang perlu dipenuhi sebagai sebahagian sunnatullah atau hukum alam, sebelum janji-janji Allah S.W.T yang benar terjelma.
Israk dan Mikraj harus menjadi pegangan untuk umat Islam bertindak dengan lebih berhikmah di dalam berdepan dengan keadaan kesedihan pada hari ini. Sesungguhnya, tiada jalan singkat bagi mengatasi cabaran dan rintangan melainkan menerusi usaha yang gigih di dalam segala urusan sebagaimana telah ditauladani oleh Nabi Muhammad SAW dan umat Islam terawal.
Kebesaran dan keangungan Allah S.W.T yang tergambar menerusi peristiwa ini seharusnya memberikan kita keyakinan dan keazaman untuk bersama-sama meneruskan cita-cita agama yang diwarisi dari Nabi Muhammad SAW dan Umat Islam terawal menerusi usaha penyampaian risalah Islam untuk seluruh masyarakat manusia.

Apa Pendapat Korang? Cer cite cer cite ツ

0 buah strawberry:

Post a Comment

Kamsahamnida ! Sebelum pergi komen la dulu pasal entri ini :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...